Friday, November 24, 2017

SIRIH PULANG KE GAGANG

Warga SMK Sungai Rambai mengucapkan tahniah kepada Puan Juwairiah binti Mohamed kerana telah mendapat kelulusan untuk menabur budi di negeri kelahirannya Terengganu Darul Iman setelah berkelana di Melaka hampir 10 tahun. Beliau bakal menimang cahaya mata ke 2 pada bulan Mac 2018 dan kelihatan sebak ketika mikrofon diserahkan kepadanya. Pihak sekolah kehilangan sebutir permata yang banyak berjasa dalam subjek sains tulen selain menaikkan nama SMKSR dalam bidang Usahawan Muda di kalangan pelajar. Terima kasih Cikgu Juwairiah.





DRAMA 'BUSUK' MENGGONDOL SATU ANUGERAH

23 November 2017 - Panggung Seri Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Melaka. Pasukan Drama Kelab 1Malaysia SMK Sungai Rambai telah menyertai pertandingan Drama Piala Pengarah JPN Melaka yang bertemakan 1Malaysia Benteras Buli.
    SMK Sungai Rambai telah berjaya memperoleh Saguhati tempat keempat dan salah seorang teraju utama drama ini telah menggondol Anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik.
    Pasukan yang dibimbing oleh Cikgu Noor Adilla, Cikgu Muhd Haris dan Cikgu Nur Nazira ini berjaya membanggakan nama sekolah. Syabas dan tahniah diucapkan dan diharap bakat-bakat pelajar SMK Sungai Rambai terus berkembang di masa akan datang.






Thursday, November 23, 2017

STEM APPS CHALLENGE WHATDEHACK JUNIOR 2017

Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Mulai 11-19 November yang lalu SMK Sungai Rambai telah menghantar wakil dalam STEM Apps Challenge, Whatdehack Junior 2017 anjuran Akademi Sains Malaysia, MagicX, Persatuan Saintis Muslim Malaysia dan Iskandar Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia serta Jabatan Pelajaran Johor.
    Program yang mendedahkan pelajar dengan pembinaan perisian permainan komputer ini telah disertai oleh 16 buah sekolah dari serata Malaysia. Antara sekolah yang terlibat ialah MRSM Kota Kinabalu,  MRSM Muazam Shah, Kolej Melayu Kuala Kangsar, SMK Muzzafar Shah Melaka dan banyak lagi. Penyertaan awal dari seluruh Malaysia adalah sebanyak 96 buah sekolah dan SMKSR bertuah menjadi antara sekolah yang terpilih ke peringkat akhir yang diadakan pada 18 dan 19 November 2017.
   Syukur Alhamdulillah berkat rahmat dari Allah s.w.t serta usaha kumpulan Exotic (fx) dari SMKSR yang dianggotai oleh Siti Hawa Bukhari (4 Sn) dan Nur Sarah Natasha Khalid (4 Eko) telah berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan ini dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 2,000.00.
SMKSR meraikan kejayaan pelajar

SUKAN SUNNAH LEPASAN PT3

Padang Sasar SMKSR - Panitia Pendidikan Islam SMKSR yang diterajui oleh Ustaz Wan Azman bin Wan Mahamud telah mengambil inisiatif untuk mendedahkan kepada pelajar lepasan PT3 dalam sukan Sunnah Rasulullah SAW. Pertandingan yang diadakan pada hari Jumaat telah mendapat sambutan baik. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh GPK HEM, Puan Hjh. Siti Saidah binti Sarwadi.




Sunday, November 19, 2017

HACKATHON DI DEWAN MPJ LIPAT KAJANG

14 - 15 November - Dewan MPJ Lipat Kajang. Seramai 10 orang pelajar SMK Sungai Rambai telah membawa cabaran sekolah ke Program Coding At Schools, Hackathon 2017 Wilayah Selatan. Program ini disertai 20 buah sekolah dari Johor dan Melaka merupakan anjuran Kementerian Kewangan di bawah inisiatif Startegi Lautan Biru Kebangsaan dgn kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.
    Program yang dikelolakan oleh Startup Malaysia Sdn Bhd ini memberi pendedahan berguna kepada pelajar untuk membina aplikasi menggunakan perisian Live Code.
   Pasukan SMK Sg. Rambai dianggotai oleh Kumpulan Rambairian A yg terdiri daripada pelajar perempuan tingkatan 4 serta Kumpulan Rambairian Junior yang terdiri daripada gabungan pelajar lelaki tingkatan 3 dan 2. Kedua-dua kumpulan diiringi oleh Cikgu Norsahiat bin Rusli.





Saturday, November 18, 2017

JAMUAN AKHIR TAHUN SMKSR

17 November, Banda Hilir - Jamuan Akhir Tahun 2017 SMK Sungai Rambai telah diadakan di Hotel Seri Costa. Majlis yang dihadiri oleh guru dan staf sekolah bermula jam 2.30 petang. Dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh En. Hilmi bin Ali Hassan dan diikuti beberapa ucapan lain iaitu Pengerusi Kelab Keluarga, En. Muhammad Faiz bin Amiron dan ucapan daripada Tuan Pengetua. Majlis diakhiri dengan cabutan bertuah. Semoga majlis ini dapat diteruskan demi silaturrahim buat warga SMKSR.










Tuesday, November 14, 2017

KE PERINGKAT KEBANGSAAN

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Cikgu Nor Waheeda Binti Hasrin kerana telah berjaya mengungguli Kejohanan Bowling PSKPP Negeri Melaka. Kejohanan yang dijalankan sebanyak 8 pusingan ini telah disertai oleh 30 peserta dari seluruh Melaka. Beliau akan mewakili Melaka dalam kejohanan peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada bulan Disember nanti.

TAHNIAH CIKGU FAUZIAH HASHIM

Kejohanan Catur PSKPP Negeri Melaka 2017

Tarikh : 11 November 2017
Tempat : Bilik Komputer SMK Sg Rambai (Merlimau)
Bilangan Pusingan Permainan : 5/6 pusingan
Kawalan Masa : 15/20 minit

9.15 am : Semakan Pendaftaran
9.45 am : Pusingan 1
10.30 am : Pusingan 2
11.20 am : Pusingan 3
12.10 am : Pusingan 4
01.00 pm : Pusingan 5
01.50 pm : Pusingan 6**

Warga SMK Sungai Rambai mengucapkan tahniah kepada Cikgu Fauziah binti Hashim kerana menjuarai Catur PSKPP Negeri Melaka bagi kategori wanita. Turut menyertai kejohanan ini ialah Ustaz Azmi dan En. Sarawanan.





PEMBELAJARAN ABAD KE 21

PPD Jasin, Melaka - Program Pembugaran Pembelajaran Abad Ke 21 Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah dan Rendah berlangsung selama 2 hari bermula 13 November 2017. SMK Sungai Rambai diwakili oleh Ustaz Wan Azman dan Ustaz Azmi.

Saturday, November 11, 2017

STEMApps Challenge 2017

11 Nov 2017, Skudai Johor. Siti Hawa Bohari dan Nursarah Natasha Mohd Khalid telah membawa cabaran SMK Sungai Rambai dalam Pertandingan STEMApps Challenge 2017 anjuran Media and Game Innovation Centre Of Excellence (MaGICX) Universiti Teknologi Malaysia.
Pertandingan yang bermatlamat untuk menghasilkan permainan komputer dan aplikasi permainan ini telah dijalankan bermula 11 hingga 19 November 2017.

NAIB JOHAN SEPAK TAKRAW

11 Nov 2017. Skuad Sepak Takraw PSKPP Jasin telah berjaya menjadi Naib Johan Acara Sepak Takraw dalam Kejohanan PSKPP Peringkat Negeri Melaka. Skuad Sepak Takraw PSKPP Jasin diperkuatkan oleh dua orang warga SMK Sungai Rambai iaitu En Hilmi dan En Adli. Syabas diucapkan.

PERLAWANAN PERSAHABATAN

10 Nov 2017, Ayer Keroh Sport Arena. Satu perlawanan persahabatan badminton antara warga kerja SMK Sungai Rambai dan SMK Dato Rahman Yaakub telah diadakan di lokasi ini.

KARNIVAL HARI PUTERI ISLAM

11 Nov 2017 Dewan Badminton MSN Melaka, Hang Tuah Jaya, Melaka. Seramai 5 orang pelajar SMK Sungai Rambai diiringi oleh Pn. Surina dan Puan Halimaton telah menyertai Karnival Hari Puteri Islam dan Pelancaran Bijak Ngaji anjuran PPIM Perhubungan Negeri Melaka. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Kolaj Butang, Permainan Capteh dan bijak mengaji. Program ini telah dirasmikan oleh Tn. Hj. Abu Bakar Bin Sahari, Pengarah JPN Melaka.




Dua orang pelajar yang mendapat tempat kedua dan ke 4 dalam Pertandingan Chapteh


Saturday, November 4, 2017

SEMOGA CEMERLANG BUAT CALON SPM 2017


Warga SMK Sungai Rambai Melaka mendoakan kecemerlangan dan kejayaan buat semua calon SPM 2017. SPM akan bermula pada 6 November 2017 dengan subjek Bahasa Melayu membuka tirai peperiksaan. "Calon diminta membawa kad pengenalan, hadir awal ke dewan serta dapat mengikut peraturan peperiksaan. Jika ada masalah, calon boleh berurusan terus dengan guru bertugas", ujar En. Norsahiat bin Rusli selaku Penyelaras SPM untuk SMKSR.

Wednesday, November 1, 2017

KONVENSYEN INOVASI GPI PERINGKAT NEGERI


Auditorium Al Azim, Melaka - Konvensyen Inovasi Guru Pendidikan Islam Peringkat Negeri Melaka telah diadakan di Auditorium Masjid Al Azim, Bukit Palah, Melaka. Majlis dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Razif bin Shahid. Konvensyen sehari ini dirasmikan oleh Tuan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Tuan Hj. Abu Bakar bin Sahari.